Friday, September 19, 2014

RINGAN DI LIDAH BERAT DI TIMBANGAN






Muslimin muslimat sekalian,

Ambillah peluang setiap masa yang terluang untuk kita mengingati ALLAH.  Di dalam hadith di atas, Nabi sallAllahu `alaihi wasallam telah menyatakan akan kelebihan kalimah dzikir ‘SubhanAllahi wa bihamdih, SubhanAllahil-`Azim’yang tidak sepatutnya kita abaikan.  Kalimah ini sangat mudah untuk disebut, tetapi subhanALLAH ganjaran pahalanya besar, malah disukai oleh ALLAH Ar-Rahman.
Justeru, janganlah kita membiarkan masa yang berlalu tanpa kita mengamalkannya.  Samada sedang berjalan, sedang menunggu, sedang berehat, sedang memandu atau mana-mana ketika pun, janganlah kita biarkan masa berlalu pergi tanpa diisi dengan dzikrullah.  Apatah lagi seperti kalimah dzikir di atas.  Mudah, tapi besar ganjarannya.
Di bawah ini, telah saya bikin videonya supaya mudah untuk diingati.  Anak-anak saya sudah pun menghafalnya, alhamdulillah.  Dan saya harap diri saya, ahli keluarga saya dan anda semua tidak mensia-siakan umur kadar sedikit ini dengan tidak mengamalkannya…

KELEBIHAN BERSELAWAT





Nabi Muhammad S.A.W. adalah insan terpuji yang menjadi contoh kepada setiap manusia tidak kira mereka yang beragama islam ataupun tidak. Bahkan mereka yang bukan beragama islam telah membuat kajian untuk mencari kelemahan dan kekurangan baginda, namun tidak ditemui sebarang kekurangan. Sungguh kita semua bertuah dijadikan sebagai umat akhir zaman, walaupun kita semua berasal dari rumpun bangsa yang berbeza (hatta juga agama) kita mengenali Nabi Muhammad S.A.W. lantaran adanya internet sebgai perantaraan. Alangkah baiknya kita menjadikan setiap satu amalan harian Nabi S.A.W. sebagai contoh ikutan untuk kita setiap hari. Jangan dilupakan juga buat muslimin dan maslimat agar sentiasa berselawat kepada Nabi Muhammad S.A.W. kerana ia merupakan hadiah yang khusus untuk setiap orang islam untuk Nabi Muhammad S.A.W. Salam dan selawat untuk junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Berikut adalah antara amalan harian yang kita wajar jadikan contoh dan teladan dalam melalui kehidupan harian. InsyaAllah.
  • Sesiapa yang berwuduk saat ingin tidur dan meminta supaya ALLAH berikan kebaikan dunia dan akhirat pasti akan dikabulkan - Tirmizi.  
  • Sunat tidur dalam keadaan berwuduk.  
  • Sesiapa yang berselawat tidak kiralah banyak mana hitungannya setiap hari akan dapat keberkatan dalam apa jua perkara dengan syarat ia berusaha mencari keredhaan-Nya.  
  • Sesiapa yang berselawat 41 kali sehari, insyaALLAH, akan dihindarkan daripada sifat tercela seperti hasad dengki, riak dan sebagainya dalam dirinya.  
  • Berselawat 33 kali sehari dapat menjernihkan hati, mudah memahami akan sesuatu ilmu yang diajarkan, di samping beroleh ketenangan fikiran.  
  • ALLAH akan hapuskan dosa-dosa kecil dengan kita mengamalkan berselawat sebanyak 11 kali, setiap kali selesai menunaikan solat fardu.  
  • Sewaktu menghadapi hidangan, Nabi S.A.W. membiasakan diri dengan mengambil makanan yang terdekat, kemudian barulah diambil hidangan yang lainnya sebagai simbolik kesopanan.  
  • Amalkan membaca selawat sebanyak 1000 kali sehari, insyaALLAH akan di kurniakan kebijaksanaan pemikiran. Di samping itu, berusahalah untuk menerokai pelbagai ilmu.  
  • Sesiapa yang berniat mandi (untuk solat jumaat) kemudian pakai pakaian terbaik dan wangian lalu solat jumaat, dosanya akan diampun hingga jumaat berikutnya-Ahmad.  
  • Sesiapa yang mengamalkan berselawat 11 kali setiap hari, dengan izin ALLAH dirinya akan lebih dihargai oleh orang lain.  
  • Uthman bin Affan riwayatkan bahawa Nabi S.A.W. apabila berwuduk, beliau membasahi janggutnya-Tirmizi  
  • Nabi tidak pernah mencela makanan. Jika baginda suka, beliau makan dan jika sebaliknya beliau tinggalkan-Bukhari. Apatah lagi jika makanan itu pemberian orang lain.  
  • Sahabat meriwayatkan : Aku lihat Nabi S.A.W. makan dengan 3 jari (ibu jari telunjuk dan tengah)- Muslim. Jarang sekali beliau makan dengan 4 atau 5 jari kecuali ada keperluan.  
  • Menurut Sayyid Ahmad Dahlan, sesiapa berselawat walau sekali pada malam jumaat, saat mautnya kelak akan dipermudahkan ALLAH seperti yang dihadapi oleh para nabi.  
  • Setiap penyakit ada penawarnya. Bacalah selawat tujuh kali pada air dan minum. InsyaALLAH, perut yang sakit atau memulas akan sembuh.  
  • Perbaharui wuduk tiap kali bersolat krn padanya terdapat banyak fadhilat. 
  • Hadith : Sesiapa yang berwuduk dalam keadaan suci, ALLAH catatkan 10 kebaikan baginya-Abu Dawud.  
  • Sesiapa yang mengamalkan membaca selawat tiga kali setiap selepas solat lima waktu akan dihilangkan kebuntuan fikiran dalam menghadapi apa jua masalah.  
  • Nabi S.A.W. sering menghadap ke kanan sedikit setelah solat berjemaah supaya makmum dapat melihat wajahnya. Sebaiknya imam berzikir dan doa seketika bersama makmum.  
  • Allah akan hapuskan dosa-dosa kecil dengan kita mengamalkan berselawat sebanyak 11 kali tiap kali selesai menunaikan solat fardu.
  • Nabi S.A.W. tak makan sambil bersandar-Bukhari. Ertinya, baginda S.A.W. makan dengan duduk condong sedikit ke hadapan bagi elakkan dirinya terlalu kenyang & mudahkan penghadaman .  
  • Menurut Syihab Ahmad, sesiapa berselawat tiga kali tiap selesai solat subuh, Maghrib dan Isyak, ALLAH akan menghindarkannya daripada sebarang bencana.  
  • Nabi S.A.W. sering beristinsyaq air ke dalam hidung dan menghembuskannya. Selain membersihkan, ia juga mengelakkan daripada sebarang penyakit yang berkaitan dengan hidung  
  • Setelah bersolat Nabi S.A.W. memohon ampun ( astagfirullahalaziim) tiga kali-Muslim. 
  • Dalam riwayat yang lain, Nabi S.A.W. adakalanya beristighfar 75 kali sehari,  
  • Sesiapa yang mengamalkan berselawat sebanyak 1000 kali setiap hari, ALLAH akan memeliharanya daripada sebarang ancaman musuh serta bahaya fitnah. 
  •  Apabila Nabi S.A.W. tidur, ia dahulukan mengiring sebelah kanan - Bukhari. Dari segi kesihatan, cara berkenaan baik untuk jantung (yang berada di kiri badan) yang mengepam darah. 
  • Amalan berselawat secara teratur setiap hari mampu membersihkan kekeruhan jiwa, dipermudahkan ALLAH segala urusan dan mendapat keampunan daripada-Nya.  
  • Ketika Nabi S.A.W. tidur, ia membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas lalu meniup telapak tangan serta menyapu keseluruhan tubuh) untuk memohon perlindungan-Nya -Bukhari  
  • Membaca selawat 10 kali pada setiap waktu pagi dan petang akan memperolehi keredhaan serta dijauhkan diri daripada mendapat kemurkaan Allah. 
  • Wuduk dahulu jika ingin tidur sekalipun dalam keadaan junub. Nabi menyarankan, cukup dengan bersihkan kemaluan dan berwuduk tanpa perlu mandi wajib jika ingin tidur.  
  • Munurut As-Shawi, sesiapa yang membaca selawat secara rutin, akan terpelihara hatinya daripada gangguan serta tipudaya syaitan yang melalaikan .  
  • Silangkan kaki jika tidur di masjid. Hadith : Sahabat melihat Nabi S.A.W. berbaring di masjid dgn satu kakinya atas kaki yang lain (kerana bimbang terdedah aurat) - Bukhari  
  • Sesiapa yang membaca selawat sebanyak tujuh kali selama tujuh Jumaat berturut-turut, ia bakal mendapat syafaat (pertolongan) daripada baginda S.A.W.  
  • Adakalanya Nabi S.A.W. amat menyukai doa-doa yang ringkas(mudah) - Abu dawud. Baginda mementingkan kualiti doa itu sendiri dengan sedikit tetapi maknanya yang menyeluruh. 
  •  Menurut Al-Hafiz Dimyati, sesiapa yang berhajat menemui Nabi S.A.W. dalam mimpinya maka amalkan membaca selawat sebanyak 70 kali sehari.  
  • Setelah bersolat, Nabi S.A.W. memohon ampun (astagfirullahalaziim) tiga kali - Muslim. Dalam riwayat yang lain, Nabi adakalanya beristighfar 75 kali sehari.  
  • Nabi S.A.W. seorang yang berpsikologi dalam memberi nasihat. Nabi S.A.W. memilih waktu yang sesuai untuk menasihati sahabat supaya mereka tidak bosan (atau tersinggung) - Bukhari  
  • Ada riwayat yang menyatakan bahawa amalan berselawat 80 kali tiap selepas solat asar pada hari jumaat, insyaALLAH akan dihapuskan dosa-dosa kecil seseorang. 
  • Menutup mulut dan rendahkan suara ketika bersin. Hadith :  
  • Apabila Nabi S.A.W. bersin, beliau meletakkan tangan atau pakaiannya di mulut (kerana dibimbangi terpercik) - Abu Dawud  
  • Jiwa yang gelisah dapat ditenangkan dengan zikir, termasuklah berselawat sekerap yang mungkin kerana ALLAH itu Maha Luas Rahmat-Nya.  
  • Sabda NabiS.A.W. :
  • Barangsiapa yang berselawat kepadaku sebanyak 100 kali pada hari jumaat, maka ia akan datang pada hari kiamat dengan keadaan bercahaya - Abu Naim  
  • Nabi S.A.W. tidak pernah menolak hadiah. Hadith : Nabi S.A.W. selalu menerima hadiah dan amat menghargainya - Bukhari  
  • Sesiapa yang sering mengamalkan berselawat pada setiap hari, ALLAH akan bukakan pintu rahmat dan rezeki yang tidak disangka-sangka baginya.  
  • Selalu memilih yang lebih mudah. Hadith : Mudahkan sesuatu dan jangan kamu sukarkannya - Muttafaq Alaih Berdiri apabila melihat iringan jenazah. Hadith : Apabila kamu sekalian melihat jenazah( yang diusung), maka berdirilah (sbg tanda penghormatan) - Muttafaq Alaih  
  • Ulamak berpendapat, sesiapa yang amalkan selawat saban hari tak kira berapa hitungannya, InsyaALLAH dihindarkan daripada taun & wabak penyakit berbahaya yang lain 
  •  Bersujud syukur jika dapat khabar gembira. Nabi sering melakukannya ketika beroleh khabar yang menyenangkan sebagai tanda syukur hamba terhadap ALLAH - Abu Dawud  
  • Membaca selawat 1000 kali selepas Solat Hajat dua rakaat mampu meenghilangkan keresahan, rasa dukacita serta dikabulkan ALLAH akan hajatnya  
  • Beri salam hingga tiga kali sahaja.Bahawasanya baginda memberi salam sebanyak 3 kali, apabila salamnya tak berjawab, beliau beredar.  
  • Menurut para ulamak, sesiapa yang inginkan saat kematiannya dalam kesudahan yang baik, maka berselawatlah sebanyak 10 kali setiap selesai solat Maghrib  
  • Melakukan /membantu isteri pekerjaan di rumah. Hadith: Bantuan terhadap isterimu itu adalah sedekah-Ad-Dailami  
  • Para ulamak berpendapat, ALLAH sempurnakan hajat yang baik dengan senantiasa berselawat 40 hingga 100 kali setiap hari, di ikuti dengan usaha yang berterusan.

ISTIGHFARLAH SETIAP HARI



Memperbanyak istighfar, memohon keampunan kepada Allah adalah salah satu cara untuk memperolehi rahmat dan diberi rezeki dari arah yang tidak di sangka-sangka.
Hadis Nabi s.a.w. bermaksud: “Barangsiapa tekun beristighfar, nescaya Allah mengadakan baginya jalan keluar dari tiap-tiap kesempitan serta diberi rezeki dari arah yang tidak  di sangka-sangka.” (H.R. Abu Dawud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Hakim)
Kelebihan Beistighfar:
Beristighfar ialah mengucapkan perkataan Astaghfirullah hal Azim. (Aku mohon keampunan daripada Allah yang Maha Agung) diikuti dengan meminta ampun dengan ucapan dan perbuatan. Dari segi perbuatan, ialah meninggalkan kesalahan yang telah kita lakukan. Allah akan mengampunkan kesalahan kita sebagaimana firman Allah bermaksud, “Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun.” (Nuh: 10)
Dalam Al-Quran, terdapat nas yang menunjukkan bahawa dengan istighfar dan bertaubat kepada Allah, termasuk diantara sebab-sebab diturunkan rezeki dan dikurniakan rahmat Allah.
Dalam Al-Quran terdapat petikan kata-kata Nabi Nuh kepada kaumnya: “Maka aku katakan kepada mereka. ‘Mohonlah ampun kepada Tuhanmu’, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan membanyakkan harta dan anak-anakmu dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai’.” (Nuh: 10-12)
Maka selalulah beristighfar dan bertaubat kerana ini merupakan antara sebab murahnya rezeki kita, berkatnya harta kita dan makbulnya doa doa kita kerana kita telah meminta ampun dari Allah dan InsyaAllah, Allah yang sifatnya Maha Pemurah akan mengurniakan permintaan dan memakbulkan doa kita kita. Janganlah jemu-jemu beristighfar.  Ada hadis mengatakan bahawa Rasulullah beristighfar sebanyak sekurang-kurangnya 70 kali sehari.
Maksudnya: “Bersabda Nabi s.a.w. : “Alangkah beruntungnya sesiapa yang mendapati di dalam lembarannya (amalannya), bahawa amal istighfar (nya) begitu banyak.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Aisyah berkata, “Beruntunglah, orang-orang yang menemukan istighfar yang banyak pada setiap lembar catatan harian amal mereka.”(HR.Bukhari).
Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa mereka yang sering mengamalkan istighfar akan mendapat keuntungan kerana besarnya kelebihan yang terdapat dalam lafaz istighfar. Keuntungan ini merupakan rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada hamba-hambaNya serta ganjaran atas ketaatan mereka kepadaNya.
Al-Aghar al-Muzani Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: “Sesungguhnya tertutup hatiku, dan sesungguhnya aku memohon ampun kepada Allah setiap hari sebanyak seratus kali.” (Hadis riwayat Muslim)
Dalam sebuah hadis yang lain pula, Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan: Maksudnya: “Bersabda Nabi s.a.w. : “Sesiapa yang selalu beristighfar, nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberinya rezeki tanpa diduga olehnya”.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Allah berfirman, “Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan mencintai orang-orang yang mensucikan diri.” (Al-Baqarah: 222).
Rasulullah bersabda, “Orang yang bertaubat adalah kekasih Allah. Orang yang bertaubat atas dosanya, bagaikan orang yang tidak berdosa.” (HR.Ibnu Majah).
Rasulullah bersabda, “Allah telah berkata,’Wahai hamba-hamba-Ku, setiap kalian pasti berdosa kecuali yang Aku jaga. Maka beristighfarlah kalian kepada-Ku, niscaya kalian Aku ampuni. Dan barangsiapa yang meyakini bahwa Aku punya kemampuan untuk mengampuni dosa-dosanya, maka Aku akan mengampuninya dan Aku tidak peduli (beberapa banyak dosanya).” (HR.IbnuMajah, Tirmidzi).
Imam Qatadah berkata, “Al-Qur’an telah menunjukkan penyakit dan ubat kalian. Adapun penyakit kalian adalah dosa, dan ubat kalian adalah istighfar.” (Kitab Ihya’Ulumiddin: 1/410).
Hudzaifah pernah berkata, “Saya adalah orang yang tajam lidah terhadap keluargaku, Wahai Rasulullah, aku takut kalau lidahku itu menyebabkan ku masuk neraka’. Rasulullah bersabda,’Dimana posisimu terhadap istighfar? Sesungguhnya, aku sentiasa beristighfar kepada Allah sebanyak seratus kali dalam sehari semalam’.” (HR.Nasa’i, Ibnu Majah, al-Hakim dan dishahihkannya).
 “Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui. Mereka itu balasannya ialah ampunan dari Tuhan mereka dan syurga yang didalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal didalamnya; dan itulah sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal.” (Ali’Imran: 135-136).
Sesungguhnya syaitan telah berkata, “Demi kemulian-Mu ya Allah, aku terus-menerus akan menggoda hamba-hamba-Mu selagi roh mereka ada dalam badan mereka (masih hidup). Maka Allah menimpalinya,”Dan demi kemuliaan dan keagungan-Ku, Aku sentiasa mengampuni mereka selama mereka memohon ampunan (beristighfar) kepada-Ku.” (HR.Ahmad dan al-Hakim).
Ali bin Abi Thalib pernah didatangi oleh seseorang, “Saya telah melakukan dosa’.’Bertaubatlah kepada Allah, dan jangan kamu ulangi’, kata Ali. Orang itu menjawab,’ Saya telah bertaubat, tapi setelah itu saya berdosa lagi’. Ali berkata, ‘Bertaubatlah kepada Allah, dan jangan kamu ulangi’. Orang itu bertanya lagi,’ Sampai bila?’ Ali menjawab,’ Sampai syaitan berputus asa dan merasa rugi.” (Kitab Tanbihul Ghafilin: 73).
Allah berfirman, “Dan Allah sekali-kali tidak akan mengazab mereka, sedang kamu berada di antara mereka. Dan tidaklah (pula) Allah akan mengazab mereka, sedang mereka meminta ampun.” (Al-Anfal: 33).
Rasulullah bersabda, “Barangsiapa yang sentiasa beristighfar, maka Allah akan memberikan kegembiraan dari setiap kesedihannya, dan kelapangan bagi setiap kesempitannya dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka,”(HR.Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad).
Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya seorang hamba boleh tertahan rezekinya kerana dosa yang dilakukannya.”(HR.Ahmad, Ibnu Hibban dan Ibnu Majah).
Rasulullah bersabda, “Apabila seorang mukmin melakukan suatu dosa, maka tercoretlah noda hitam di hatinya. Apabila ia bertaubat, meninggalkannya dan beristighfar, maka bersihlah hatinya.” (HR.Nasa’i, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Tirmidzi).
Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya Allah akan mengangkat darjat seorang hamba di surga. Hamba itu berkata,’Wahai Allah, dari mana saya dapat kemuliaan ini?’ Allah berkata,’Kerana istighfar anakmu untukmu’.” (HR.Ahmad dengan sanad hasan).
Rasulullah bersabda, “Setiap anak Adam pernah bersalah, dan sebaik-baik orang yang bersalah adalah yang segera bertaubat.” (HR.Tirmidzi, Ibnu Majah, al-Hakim).
Allah berfirman, “Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya. (Iaitu) orang-orang yang berdo’a: “Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah segala dosa kami dan peliharalah kami dari siksa neraka,”(iaitu) orang-orang yang sabar, yang benar, yang tetap ta’at, yang menafkahkan hartanya (dijalan Allah), dan yang memohon ampun (beristighfar) di waktu sahur.” (Ali’Imran: 15-17).
Allah berfirman,”…Barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Al-Hujurat: 11).
Ibnu Shabih berkata, “Hasan al-Basri pernah didatangi seseorang dan mengadu bahawa lamannya tandus, ia berkata, ‘Perbanyaklah istighfar’. Lalu ada orang lain yang mengadu bahwa kebunnya kering, ia berkata, ‘Perbanyaklah istighfar’. Lalu ada orang lain lagi yang mengadu bahawa ia belum punya anak, ia berkata,’Perbanyaklah istighfar’. (Kitab Fathul Bari: 11/98).
Allah berfirman, “Dan (dia berkata): “Hai kaumku, mohonlah ampun kepada Tuhanmu lalu bertobatlah kepada-Nya, nescaya Dia menurunkan hujan yang sangat deras atasmu, dan Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatanmu, dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa.” (Hud: 52).
Allah berfirman, “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.”(An-Nur: 31).
Allah berfirman, “Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal saleh; maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-Furqan: 70).
“Dan dirikanlah sembahyang itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” (Hud: 114).
Rasulullah bersabda, “Tidak seorangpun dari umatku, yang apabila ia berbuat baik dan ia menyedari bahawa yang diperbuat adalah kebaikan, maka Allah akan membalasnya dengan kebaikan. Dan tidaklah ia melakukan suatu yang tercela, dan ia sadar sepenuhnya bahawa perbuatannya itu salah, lalu ia mohon ampun (beristighfar) kepada Allah, dan hatinya yakin bahwa tiada Tuhan yang boleh mengampuni kecuali Allah, maka dia adalah seorang Mukmin.”(HR.Ahmad).

DOA DAN ZIKIR AMALAN HARIAN


Doa dan zikir harian amat baik diamalkan setiap hari...Ianya sangat memberikan manfaat kepada kita di dalam kehidupan seharian.









Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...